OGOS 2023

Agropelancongan Bantu Bangun Keusahawanan


KUCHING: Pembangunan sektor agropelancongan akan mengwujudkan lebih banyak peluang keusahawanan kepada rakyat di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sektor itu selain membangunkan industri pertanian ia turut mengwujudkan peluang membangunkan inapdesa, jurupandu pelancong dan produk pertanian hiliran.

“Kerajaan sedang menggalakkan pertumbuhan ekosistem ekonomi yang memberi manfaat kepada pelancong, usahawan dan masyarakat tempatan,” katanya merasmikan Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak (SAtCE) 2023 di sini.

Teks ucapan Premier Sarawak disampaikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amafr Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata, dengan visi berpandangan jauh untuk membangunkan Sarawak, agropelancongan memainkan peranan penting dalam Inisiatif Pelan Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 yang fokus kepada keterangkuman sosial dan memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial rakyat.

Mempelbagaikan sumber ekonomi dan menerokai peluang perniagaan hiliran dalam agropelancongan, katanya, boleh meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kemiskinan.

Menurut Premier Sarawak, komitmen kerajaan membangunkan sektor pertanian akan membantu melestarikan penggunaan tanah seiring dengan usaha memajukan agropelancongan dan destinasi pelancongan di negeri ini.

Dengan memastikan punca pendapatan adalah hasil daripada bidang pertanian, beliau menegaskan, ia akan membantu pertumbuhan mampan di samping menggalakkan industri pelancongan.

Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak menyokong penuh sektor pertanian di bawah PCDS 2030 dan acara seperti SAtCE memain peranan penting bagi menjayakan matlamat itu. Ia turut mengajak pakar, pemegang taruh dan pengusaha secara bersama membangunkan agropelancongan negeri ini pada masa depan.

Melalui persidangan dan ekspo itu, katanya, kerajaan berhasrat menggalakkan pelaburan dalam ekosistem agropelancongan, pembangunan infrastruktur baharu, penginapan, produk makanan hiliran, perkhidmatan pelancongan dan sebagainya.

Fokus Kerajaan Sarawak terhadap kelestarian perhutanan seperti ladang buluh, buah-buahan dan herba tempatan, katanya, bukan hanya meningkatkan pengalaman agropelancongan tetapi juga menyumbang kepada pemuliharaan persekitaran.

Dengan mengamal kelestarian pertanian, industri perubatan dan kitar semula sisa pertanian, Sarawak boleh mewujudkan persekitaran hijau, pendekatan persekitaran kepada pelancong dan pertanian, tegas beliau.

Sumber dari : Jiwa Bakti